MENGURANGKAN pengambilan gula atau istilah yang sering digunakan sekarang “cut sugar” merujuk kepada usaha mengurangkan atau menghentikan gula tambahan dalam makanan terutamanya pencuci mulut atau makanan berproses.
Menerusi laporan Times of India, pakar gastroenterologi dari Universiti Harvard dan Stanford, Dr. Sethi berkongsi mengenai keberkesanan “cut sugar” selama dua minggu untuk membantu semua lapisan umur meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri. Berikut ialah fasa yang anda perlu bersedia hadapi sepanjang tempoh tersebut.
Fasa tercabar pada hari pertama hingga ketiga
Permulaan untuk sesuatu sentiasa ada dugaan yang perlu dilalui demi kebaikan diri. Dalam konteks ini, ramai akan mengalami perkara berikut pada tiga hari pertama mengurangkan kadar gula.
- Keinginan untuk makan manis sangat kuat
- Rasa lesu dan sakit kepala
- Emosi kurang stabil
- Sukar fokus
Menjadi perkara biasa sekiranya anda mengalami keadaan seperti ini. Ia menunjukkan bahawa otak anda sedang menyesuaikan diri tanpa gula.
Badan mula menyesuaikan diri pada minggu pertama
Menjelang hari keempat hingga ketujuh, beberapa perubahan positif pada badan mula dirasai.
- Bertenaga sepanjang hari
- Keinginan terhadap makanan manis berkurang
- Perut kurang kembung
- Tidak rasa mengantuk pada waktu petang
Situasi ini berlaku kerana paras gula dalam darah lebih seimbang. Menurut Dr. Sethi, pada tahap ini badan mula membiasakan guna tenaga daripada makanan sihat secara semula jadi.
Kesan mula nampak pada minggu kedua
Kesan yang ketara mula dilihat apabila genap dua minggu konsisten “cut sugar”. Antaranya, termasuklah perkara berikut:
- Perut tidak lagi membuncit
- Paras gula dalam darah bertambah baik
- Hanya rasa lapar pada waktu tertentu dan bukannya sepanjang masa
- Kualiti tidur lebih terjaga
Dr. Sethi menyifatkan fasa ini sebagai “metabolic reset” (set semula metabolisme) demi memperbetulkan semula cara tubuh badan menghadam makanan.
Lakukan secara konsisten setelah dua minggu
Pantang gula selama dua minggu perlu tetap diteruskan secara konsisten. Ini kerana kesan paling jelas lebih menonjol jika dipraktikkan untuk tempoh masa yang lama.
- Kawalan gula darah sentiasa stabil
- Kurang risiko pengumpulan lemak dalam badan
- Deria rasa dan selera mula berubah
- Lebih mudah mengekalkan diet sihat kerana tiada rasa mengidam makanan manis
Kajian sains turut menyokong
Terdapat beberapa kajian membuktikan bahawa pengurangan gula dikaitkan dengan risiko diabetes dan serangan jantung lebih rendah. Selain itu, kawalan berat dan kesihatan badan terjamin lebih baik.
Dr. Sethi ada menegaskan bahawa tabiat “cut sugar” ini bukannya diet ekstrem. Oleh itu, anda tidak perlu pantang makanan karbohidrat, buah-buahan atau berpuasa. Hanya perlu kurangkan gula dalam kehidupan seharian. -RELEVAN


