PENDETA Za’ba atau nama penuhnya Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad pasti tidak lekang dari bibir apabila dikaitkan dengan kesusasteraan bahasa Melayu dan pembangunan pendidikan negara secara umum.
Negarawan ini bukan hanya dikenali sebagai tokoh bahasa, beliau juga merupakan seorang cendekiawan Melayu dan pendidik yang pemikirannya mendahului zaman. Jasanya meninggalkan kesan mendalam kepada pembentukan Malaysia hari ini.
Za’ba percaya bahawa kemajuan bangsa Melayu tidak akan tercapai tanpa pembaharuan menyeluruh dalam cara berfikir, memahami agama, menggunakan bahasa dan mengurus pendidikan. Melalui keyakinan inilah menjadikan beliau disegani ramai kerana berani menegur kelemahan bangsanya sendiri demi masa depan negara yang lebih maju dari seluruh aspek.
SUMBANGAN TERBESAR
Menurut Arkib Negara, Za’ba digelar sebagai peneroka tatabahasa. Pada zaman bahasa bahasa Melayu masih belum diiktiraf sepenuhnya, beliau merupakan individu bertanggungjawab menyusun, membina dan memperkemas sistem tatabahasa secara ilmiah. Beliau turut menulis dan menerbitkan pelbagai buku tatabahasa yang kemudiannya menjadi rujukan penting dalam sistem pendidikan negara.
Keistimewaan pendekatan Za’ba terletak pada kebijaksanaannya menggabungkan ilmu khususnya bahasa Arab, beliau memperkenalkan konsep dan istilah bahasa yang dipinjam serta disesuaikan ke dalam bahasa Melayu. Secara tidak langsung, kosa kata dan struktur bahasa kebangsaan yang mampu berdiri setanding bahasa rasmi antarabangsa.
Dalam masa yang sama, Za’ba juga mempunyai peranan besar dalam memartabatkan tulisan jawi. Beliau melihat tulisan Jawi sebagai warisan tamadun Melayu-Islam yang perlu dipelihara dan diperkasa, terutamanya sebagai wahana ilmu dan identiti bangsa. Usaha gigihnya mengekalkan penggunaan Jawi dalam pendidikan dan penulisan adalah untuk melindunginya supaya tidak ditelan zaman.
Pengorbanan Za’ba ini diakui oleh tokoh-tokoh besar di persada dunia termasuk tokoh Nusantara, Buya Hamka yang menyifatkan beliau sebagai penghubung antara tradisi dan kemodenan.
“Za’ba adalah derma termahal yang diberikan Islam ke dalam kesusateraan Melayu moden. Za’ba adalah laksana jambatan yang menghubungkan antara perbendaharaan Melayu lama dengan perkembangan bahasa moden,” katanya.
EMPAT REFORMASI ZA’BA KEPADA NEGARA
Pemikiran Za’ba bersifat menyeluruh dan berpaksikan reformasi. Beliau menggariskan empat bidang utama pembaharuan yang dianggap penting demi masa depan bangsa dan negara.
Pertamanya adalah reformasi dari sudut agama. Za’ba menegur sikap sebahagian orang Melayu yang tidak memahami ajaran Islam secara mendalam. Beliau menekankan keperluan memahami agam berasaskan usul fiqh dan prinsip sebenar Islam agar rakyat mampu berfikir lebih kritis dan siap siaga menghadapi penjajahan serta cabaran pada masa akan datang.
Seterusnya ialah reformasi bangsa. Atas dasar kecintaan terhadap negara, Za’ba menyedarkan masyarakat Melayu ketika itu supaya bangkit dan berusaha mengubah nasib sendiri tanpa kebergantungan berlebihan kepada pihak lain.
Selanjutnya ialah reformasi bahasa. Bagi Za’ba, bahasa ialah cerminan dan jiwa sesebuah bangsa. Beliau memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, pentadbiran dan penyatuan. Perkembangan bahasa melayu moden yang diguna pakai generasi kini adalah hasil titik peluh beliau untuk negara.
Akhir sekali ialah reformasi pendidikan. Sebagai seorang berjiwa pendidik, Za’ba menekankan kepentingan pendidikan untuk semua anak Melayu tanpa mengira latar belakang. Beliau menegaskan agar tiada seorang pun anak Melayu dibiarkan buta huruf. Ini kerana keupayaan membaca dan menulis merupakan kunci utama pembebasan minda dan kemajuan bangsa.
PERANAN DALAM POLITIK DAN PEMBINAAN NEGARA
Walaupun beliau bukan berlatarkan politik, Za’ba turut menyumbang kepada pembinaan negara. Beliau dilantik sebagai ahli jawatankuasa dalam UMNO dan bekerjasama dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman, demi usaha merangka pembentukan negara yang lebih maju. Namun begitu, penglibatannya dalam bidang politik tidak lama. Beliau kembali menumpukan khidmatnya kepada cinta pertamanya iaitu pendidikan dan bahasa.
PENGIKTIRAFAN DAN ANUGERAH
Tidak dapat dinafikan jasa beliau amatlah besar dalam menyebar dan memartabat bahasa Melayu. Justeru, Za’ba dianugerahkan gelaran Pendeta yang merupakan pengiktirafan tertinggi kepada tokoh bahasa dan kesusateraan negara. Usaha beliau membuahkan hasil apabila bahasa Melayu secara rasminya diangkat ke seantero dunia sebagai bahasa ilmu dan budaya. Selain itu, beliau turut menerima Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangannya yang luar biasa.
LEGASI ABADI PENDETA ZA’BA
Pendeta Za’ba meninggal dunia pada 2 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun. Demikian kata pepatah Melayu, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” cukup sinonim kerana pemergiannya sangat terkesan namun legasinya terus hidup walau dimamah waktu. Selagi ilmu dimartabat dan bahasa Melayu dijunjung, selagi itulah nama Pendeta Za’ba akan terus dikenang sebagai tokoh reformasi pendidikan negara terulung.


