RAMAI pekerja menganggap sikap sentiasa bertolak ansur, mengalah dan memenuhi permintaan orang lain sebagai sebahagian daripada etika kerja yang baik. Kita diajar untuk jadi fleksibel, mudah bekerjasama dan tidak menyusahkan sesiapa.
Namun menurut My Wellbeing, sikap people-pleasing yang berlebihan mendatangkan risikonya sendiri. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada emosi tetapi kerjaya jangka panjang.
Kesan people-pleasing tidak berlaku secara mendadak. Ia terkumpul perlahan-lahan sehingga menjadi sesuatu yang dianggap normal.
Tiga kesan people-pleasing di tempat kerja yang sering dipandang remeh yang dibincangkan oleh My Wellbeing ialah seperti berikut:
-
Burnout yang dianggap ‘biasa’
Apabila tenaga mental dan emosi sentiasa digunakan untuk memenuhi keperluan orang lain tanpa mengambil kira kapasiti sendiri, tubuh dan minda sehingga akhirnya keletihan. Ramai people pleaser tidak menyedari mereka sedang mengalami burnout kerana keletihan itu sudah menjadi rutin harian.
Mereka terus bekerja walaupun lesu, kosong dan memaksa diri walaupun tiada ruang untuk pulih. Lama-kelamaan, keletihan melampau ini menjejaskan fokus, kesihatan dan motivasi kerja.
-
Kebimbangan yang berpanjangan
People-pleasing mencipta jurang antara apa yang dirasakan dan apa yang diluahkan. Seseorang mungkin terluka, tidak setuju atau penat tetapi memilih untuk menyembunyikannya demi menjaga produktiviti kerja.
Ia akan membuatkan seseorang sentiasa tertanya-tanya sama ada setiap tindakan yang diambil cukup baik atau tidak demi memastikan keselesaan orang lain sahaja.
Kebimbangan yang berterusan akan mengganggu kejelasan berfikir, mengekang kreativiti dan melemahkan keyakinan diri.
-
Rasa tersekat dalam kerjaya
Apabila terlalu fokus memenuhi jangkaan orang lain, keperluan dan aspirasi sendiri sering terpinggir. Walaupun telah bertahun-tahun bekerja, tabiat sukar berkata tidak, enggan meminta peluang dan kabur tentang hala tuju kerjaya membuatkan seseorang tetap merasa seolah-olah tidak mempunyai kemajuan.
Kerjaya tidak akan berkembang secara pasif. Ia memerlukan keberanian untuk memilih diri sendiri. Namun, ia mungkin sesuatu yang sukar dilakukan apabila seseorang terlalu sibuk menjaga penerimaan orang lain.
Jadi, apa yang boleh dibuat untuk mula berubah
-
Mulakan dengan kesedaran
Langkah paling asas ialah menyedari bila dan kenapa kita cenderung untuk memuaskan hati orang sahaja. Tanpa kesedaran, tingkah laku ini akan terus berlaku secara automatik.
My Wellbeing menyarankan agar kesedaran ini dijadikan amalan harian. Ada yang memilih untuk menulis refleksi ringkas setiap hari. Ada juga menetapkan peringatan untuk semak diri sendiri atau berbincang dengan rakan dipercayai untuk mengenal pasti corak tingkah laku mereka. Apabila kesedaran meningkat, seseorang mula mampu menghentikan diri sebelum mengalah tanpa sebab.
-
Kenali keperluan dan had diri sendiri
Ramai people pleaser tahu apa yang orang lain perlukan tetapi bingung tentang keperluan sendiri. Menetapkan sempadan bermula dengan memahami apa yang diperlukan untuk kekal sihat dari segi emosi, mental dan fizikal.
Ini memerlukan kejujuran dengan diri sendiri tentang potensi serta kemampuan diri sendiri. Siapa tahu, selepas ini meletakkan had tidak lagi terasa seperti melakukan dosa tetapi kaedah untuk seimbangkan keperluan diri atau kerja dengan lebih baik.
-
Berbincang dengan bos
Perubahan tidak akan berlaku jika ia hanya kekal sebagai niat. My Wellbeing menegaskan pentingnya untuk berbincang dengan pihak yang berkaitan. Sama ada pengurus, bos atau rakan sekerja, berbincanglah dengan baik.
Apabila keperluan dan sempadan dibincangkan secara profesional, orang sekeliling lebih mudah memahami cara kita bekerja dan tidak akan mengambil kesempatan ke atas diri kita lagi.
-
Dapatkan sokongan profesional jika perlu
Bagi sesetengah individu, people-pleasing mula tercetus daripada pengalaman lama atau respon trauma. Tabiat ini mungkin sukar diubah jika tidak mendapatkan nasihat dan sokongan yang sepatutnya. Dapatkan nasihat daripada pakar kerjaya atau pakar terapi untuk membantu proses perubahan.
Berhenti menjadikan penerimaan orang lain sebagai keutamaan bukan satu keputusan mudah. Namun di situlah seseorang mula kembali memegang kendali terhadap kerjaya dan kehidupannya.
Walaupun prosesnya perlahan, kemajuan sebenar sering bermula dengan pilihan yang kecil dan konsisten. – RELEVAN


