MENUKAR sekolah ialah pengalaman besar bagi seorang kanak-kanak. Sama ada berpindah dari tadika ke sekolah rendah, sekolah menengah atau ke sistem baharu seperti sekolah antarabangsa, setiap perubahan pasti memberi kesan emosi kepada pelajar.
Bagi ibu bapa juga, peralihan juga menimbulkan rasa takut memikirkan apa yang akan dilalui anak masing-masing dalam persekitaran baru.
Menurut Education Destination Malaysia, kanak-kanak sebenarnya lebih kuat dan mudah menyesuaikan diri daripada yang disangka. Dengan sokongan yang betul di rumah dan sekolah, proses peralihan ini boleh menjadi perjalanan yang lancar.
Berikut beberapa cara ibu bapa boleh membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan di sekolah.
-
Bincang awal tentang perubahan
Kanak-kanak lebih mudah menyesuaikan diri apabila mereka tahu apa yang bakal berlaku. Mulakan perbualan ini lebih awal sebelum tarikh pertukaran sekolah. Ceritakan perkara positif seperti peluang untuk mendapat kawan baharu, kemudahan menarik atau subjek yang bakal dipelajari.
Bagi anak yang masih kecil, gunakan bahasa yang mudah difahami. Sebagai contoh, daripada berkata, “Kamu akan belajar menggunakan sistem lain,” lebih sesuai jika dikatakan, “Nanti kamu akan ada cikgu dan kawan baharu. Nanti mesti seronok belajar bersama-sama.”
Bagi anak yang lebih matang, libatkan mereka dalam perbincangan mengenai perbezaan kurikulum, aktiviti kokurikulum dan juga hal logistik seperti perjalanan ke sekolah.
-
Lawat sekolah baharu bersama
Jika boleh, rancang lawatan ke sekolah baharu sebelum hari pertama persekolahan. Berjalan di sekitar kelas, kantin dan taman permainan. Ia sedikit sebanyak akan membantu anak membayangkan rutin harian mereka nanti.
Lawatan itu mengurangkan rasa takut terhadap perkara yang belum dikenali dan menjadikan suasana baharu lebih mesra. Jika sekolah menawarkan sesi orientasi atau tempoh percubaan, ambillah peluang ini agar anak dapat berjumpa guru serta rakan baharu lebih awal.
-
Akui dan dengar perasaan anak
Peralihan sekolah boleh menimbulkan pelbagai emosi – teruja, takut, sedih atau marah. Jangan abaikan perasaan ini dengan ungkapan seperti, “Jangan risau, semuanya baik-baik sahaja.”
Sebaliknya, akui perasaan anak dengan berkata, “Ibu faham kamu risau nak cari kawan baru. Itu perkara biasa.”
Apabila anak berasa seperti didengari, mereka lebih berani meluahkan perasaan dan kurang tertekan.
-
Kekalkan rutin di rumah
Walaupun persekitaran sekolah berubah, rumah perlu kekal sebagai tempat yang stabil dan selamat. Teruskan rutin seperti makan malam bersama, waktu tidur yang konsisten atau aktiviti hujung minggu.
-
Galakkan hubungan sosial awal
Kebimbangan paling besar bagi kanak-kanak ialah sukar mendapat kawan baharu. Ibu bapa boleh membantu dengan memperkenalkan mereka kepada rakan sekelas sebelum sekolah bermula.
Jika sekolah ada kumpulan WhatsApp ibu bapa, gunakan peluang ini untuk mengatur pertemuan kecil. Bagi anak-anak yang menginjak dewasa, galakkan mereka menyertai kelab, sukan atau kumpulan muzik. Aktiviti sebegini secara semula jadi membuka ruang untuk berkawan.
-
Jangan mengongkong
Naluri ibu bapa ialah ingin membantu setiap kali anak menghadapi masalah. Namun, anak juga perlu belajar menyesuaikan diri sendiri. Tanyakan soalan ringan seperti, “Hari ini duduk dengan siapa?” atau “Apa perkara paling seronok di sekolah hari ini?”
Pada masa sama, berilah ruang kepada anak untuk berdikari. Percayalah guru dapat membimbing pelajar baharu. Kekalkan hubungan baik dengan guru kelas atau kaunselor untuk memantau perkembangan anak tanpa terlalu mengawal.
-
Peka dengan tanda-tanda tekanan
Rasa gugup itu normal tetapi jika anak menunjukkan tanda tekanan berpanjangan seperti susah tidur, sakit perut, cepat marah atau tidak mahu bergaul, mungkin mereka sedang bergelut dengan perubahan. Jika ini berlaku, berikan lebih perhatian dan dorongan.
-
Galakkan anak berdikari
Peralihan sekolah adalah masa yang baik untuk anak belajar berdikari. Galakkan mereka mengemas beg sendiri, urus jadual atau merancang aktiviti selepas sekolah. Tanggungjawab kecil seperti ini membantu anak rasa lebih yakin dan terkawal dalam persekitaran baharu.
Dengan pendekatan yang betul, anak bukan sekadar mampu menyesuaikan diri malah berkembang dengan yakin dan bersedia menyambut permulaan baharu dalam hidup mereka. – RELEVAN


