RAMAI yang berdepan masalah kewangan kerana gagal mengawal perbelanjaan. Keghairahan berbelanja seperti esok akan berakhir, meletakkan ramai orang dalam kesusahan terutama ketika menanti hari gaji.
Perbelanjaan tanpa kawalan kini lebih mudah berikutan kewujudan banyak saluran untuk berbelanja tanpa perlu keluar dari rumah. Internet hari ini adalah pasaraya terbesar di dunia yang menghubungkan pembeli dengan mana-mana penjual. Sistem pembayaran dalam talian yang memudahkan seseorang terperangkap dalam hutang melebihi pendapatan.
Kemudahan digital atau perangkap kewangan
Skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) berpotensi menjadi beban kewangan jangka panjang kepada seseorang.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penggunaan skim BNPL meningkat sejak tahun 2024 hingga separuh pertama tahun ini. Lonjakan ini menimbulkan kebimbangan kerana risikonya kepada golongan pengguna kredit rentan iaitu mereka yang berpendapatan rendah, tidak tetap pendapatan atau kurang celik kewangan.
Gaya hidup moden dan kurangnya ilmu tentang pengurusan kewangan menjadikan BNPL satu perangkap kewangan yang boleh meninggalkan kesan besar kepada bebanan hutang seseorang.
Golongan belia dan budaya FOMO
Lebih membimbangkan, data menunjukkan 40 peratus generasi muda berusia 30 tahun ke bawah adalah penyumbang utama transaksi BNPL pada separuh pertama tahun ini. Fenomena ini dipacu budaya Fear of Missing Out (FOMO) mendorong pembelian panik tanpa pertimbangan sama ada ia boleh menjejaskan kewangan dan kualiti hidup jangka panjang.
Kajian menunjukkan belia masih lemah dalam pengurusan kewangan, terbukti melalui penggunaan kad kredit tinggi hingga ramai golongan ini menjadi muflis pada usia muda. kim BNPL dijangka akan menyebabkan lebih ramai orang muda menjadi muflis.
Data pihak berkuasa menunjukkan 5,272 belia berusia 34 tahun ke bawah telah diisytiharkan muflis dalam tempoh enam tahun antara 2020 hingga 2025. Statistik ini menunjukkan kebankrapan bukan perkara remeh. Malah skim BNPL berpotensi menjadi ‘bom’ yang mengancam masa depan ekonomi generasi muda jika tidak dikawal.
Ketidaktentuan ekonomi, kesukaran mendapat pekerjaan setimpal dengan kelayakan dan gagal mengawal perbelanjaan akan mendedahkan mereka kepada risiko hutang berpanjangan atau sehingga boleh muflis.
Jangan masuk jerat hutang
Skim BNPL adalah pilihan tetapi jangan disalah guna. Setiap perbelanjaan mesti dilakukan dengan cermat.
Belia perlu mampu mengawal nafsu berbelanja dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya FOMO. Dalam era digital, kawalan diri adalah kunci untuk mengelak terjebak dengan hutang tidak terkawal. Setiap perbelanjaan mesti berdasarkan kemampuan.
Ukur baju di badan sendiri menjadi prinsip asas dalam menguruskan kewangan. Perbelanjaan mesti berdasarkan kedudukan aliran tunai (wang yang ada) serta kemampuan untuk membayar balik.
Skim BNPL adalah satu kemudahan tetapi jika disalah guna akan menyebabkan seseorang jatuh dalam perangkap hutang yang mungkin tidak mudah untuk keluar. -RELEVAN