INI bukan hasutan untuk pekerja ‘mengular’ atau mengabaikan tugas dalam waktu kerja. Kami cuma mahu memperkenalkan beberapa kajian yang menunjukkan kelebihan apabila majikan memberi ruang untuk pekerja tidur sekejap dalam waktu kerja.
Hal ini bukanlah baharu, perbincangan tentangnya telah berlangsung selama beberapa tahun di peringkat dunia. Cuma di Malaysia, ia belum popular.
Tidur sekejap atau meridap (nap) ada manfaatnya yang tersendiri dari segi kesihatan dan produktiviti pekerja, yang seterusnya memberi kesan kepada produktiviti syarikat.
Melalui beberapa rujukan, Relevan menjelaskan kepada anda kepentingan tidur atau meridap ketika bekerja.
Tidur malam vs meridap
Pembantu Profesor di Sekolah Perniagaan Universiti Warwick, Mattie Toma menjalankan kajian bersama beberapa ahli akademik dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Universiti Harvard dan Universiti Pennsylvania.
Dalam kajian tersebut, dua kumpulan pekerja diberikan intervensi untuk waktu tidur mereka. Satu kumpulan mendapat intervensi untuk tidur malam – diberikan alat untuk bantu mereka mendapatkan tidur berkualiti seperti topeng tidur, kipas dan tilam selain ditawarkan insentif jika dapat tidur dengan lebih lama.
Satu lagi kumpulan pula diberi pilihan untuk meridap selama 30 minit pada waktu siang dalam suasana yang senyap dan selesa.
Kumpulan pertama yang dibantu untuk tidur malam tidak menunjukkan peningkatan dalam produktiviti, pembuatan keputusan, kesejahteraan dan kognisi. Malah, ia sedikit mengganggu tugas pekerja apabila terlambat masuk ke kerja kerana menikmati tidur yang lebih lama.
Kumpulan kedua mempunyai keputusan yang lebih baik. Mereka merekodkan peningkatan dari segi kesejahteraan psikologi, kognisi dan produktiviti mereka meningkat pada purata 2.3 peratus
Ridap yang sihat
Menurut Profesor Sara Mednick dari Universiti California, meridap pada waktu siang sesuai dengan rentak sirkadian tubuh, menjadikannya bermanfaat sama seperti kita mendapat tidur yang cukup pada waktu malam.
Kata beliau, orang yang meridap menunjukkan tahap pembelajaran (keupayaan untuk mengenal pasti lebih banyak maklumat dalam tempoh yang lebih cepat) yang sama seperti selepas bangun tidur yang cukup pada waktu malam.
Suhu badan manusia berkurang apabila berasa penat di pertengahan hari, selain keupayaan kognitif juga merosot.
“Kebiasaannya sekarang, orang akan minum kopi (untuk terus segar) tapi sebelum ini, orang akan meridap.
“Kita masih ada rentak dalam tubuh yang boleh mendapat manfaat dengan tidur sekejap tetapi kita tidak hidup dalam dunia yang menggalakkan perkara tersebut, sehinggalah sekarang,” katanya Mednick, merujuk kepada pandangan negatif terhadap aktiviti meridap semasa bekerja sebelum ini.
Ahli terapi tidur, Dr. Nerina Ramlakhan membahagikan ridap kepada tiga kategori, iaitu:
- Ridap sihat (power nap) : Maksimum selama 20 minit dan membolehkan anda berada dalam keadaan hampir tidur. Ridap sebegini membolehkan anda bangun dengan mental yang lebih tajam.
- Ridap pulih (recovery nap) : Ia boleh berlangsung selama 40 minit dan melibatkan tidur yang ringan. Kajian daripada Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) menunjukkan ia dapat meningkatkan kepekaan juruterbang dan angkasawan sebanyak 100 peratus.
- Ridap cegah (prophylactic nap) : Ia khusus untuk mereka yang mempunyai masalah tidur yang teruk. Ridap ini tiada had waktu; anda tidur selama mungkin atau sehingga anda rasa semakin baik.
Untuk pekerja, mungkin ridap sihat adalah yang paling sesuai. Tapi syaratnya, tidur malam anda tiada masalah. Kalau waktu malam hanya tidur selama tiga hingga empat jam, anda tidak akan mampu mendapat ridap yang sihat.
Ridap sebagai budaya
Di Malaysia, meridap sewaktu bekerja secara amnya tidak digalakkan, malah mungkin dipandang negatif.
Namun, di beberapa negara dan kumpulan masyarakat, meridap dianggap kelaziman dan digalakkan.
Di China, waktu rehat tengah hari diberikan lebih lama, sehingga dua jam. Ini kerana meridap sangat digalakkan dan sudah menjadi budaya.
Ia dikaitkan dengan kepercayaan keseimbangan tubuh orang China, iaitu yin dan yang. Tidur sekejap pada waktu matahari tegak dipercayai boleh mengekalkan keharmonian tubuh.
Di Jepun, amalan ini dikenali sebagai inemuri yang bermaksud hadir ketika tidur. Orang Jepun akan curi apa saja masa yang ada untuk merehatkan mata, baik ketika dalam bas, di taman-taman atau ketika bekerja.
Di Sepanyol pula, mereka ada masa ‘siesta’ yang bermula pada pukul 2 hingga 5 petang. Dalam tempoh ini, beberapa kedai atau restoran akan tutup sementara bagi membolehkan pekerja mereka berehat dan meridap.
Dalam tradisi Islam pula, ada qailulah iaitu tidur atau berehat sekejap pada waktu tengah hari, khususnya sebelum masuk waktu Zohor. Amalan ini hukumnya sunat untuk orang Islam.
Amalan qailulah digalakkan dalam Islam supaya kita dapat berehat, selain sebagai persediaan untuk melakukan sunat tahajud pada waktu malam. – RELEVAN