HARI raya bakal tiba tidak lama lagi. Ramai sudah mula membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri dengan membeli pakaian baharu mahupun merancang riasan wajah agar lebih berseri.
Justeru, masih belum terlambat untuk menjaga kesihatan kulit dengan baik agar tidak “bad mood” pada pagi raya jika jerawat tiba-tiba muncul di wajah.
Ramai beranggapan penjagaan kulit hanya bergantung pada produk atau “skincare” semata-mata. Hakikatnya, penjagaan kulit bermula dari apa yang kita makan setiap hari. Makanan yang diambil boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan kulit.
Pakar bedah plastik, Dr. Anthony Youn, berkongsi beberapa jenis makanan yang berpotensi merosakkan kulit dari dalam. Berikut antara makanan yang wajar dielakkan jika ingin tampil berseri menjelang Hari Raya.
-
Roti putih

Walaupun kelihatan biasa dan sering menjadi pilihan ramai, roti putih sebenarnya musuh utama kulit yang sihat. Menurut Dr. Youn, roti putih oleh meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat kerana mengandungi indeks glisemik.
Lonjakan gula ini merangsang pengeluaran insulin yang seterusnya boleh mencetuskan keradangan dan penghasilan minyak berlebihan pada kulit. Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan jerawat, kemerahan serta mempercepatkan proses penuaan.
-
Snek pedas

Snek pedas yang sering dijadikan kudapan ketika bosan atau lapar juga boleh memberi kesan kepada keadaan kulit. Menurut Dr. Youn, makanan ringan berperisa pedas biasanya mengandungi bahan kimia serta lemak tidak sihat.
Kandungan ini boleh meningkatkan keradangan dalam badan yang bukan hanya menjejaskan kesihatan dalaman, malah boleh muncul pada wajah dalam bentuk kulit seperti jerawat.
-
Coklat susu

Peminat coklat mungkin perlu lebih berhati-hati. Walaupun coklat seperti “dark chocolate” sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan, coklat berasaskan susu pula tidak begitu mesra kulit.
Ini kerana ia mengandungi kandungan gula dan produk tenusu yang tinggi sehingga memberi kesan negatif kepada keadaan kulit. Oleh itu, Dr. Youn menyarankan agar memilih coklat gelap sebagai alternatif lebih baik.
-
Susu rendah lemak (skim)

Ramai menganggap susu skim sebagai pilihan yang lebih sihat. Namun, ia mungkin bukan pilihan terbaik untuk kulit.
Beberapa kajian mendapati pengambilan susu skim mempunyai kaitan dengan masalah jerawat. Walaupun mekanismenya masih dikaji, ia dipercayai berkait dengan hormon dan komponen tertentu dalam susu tersebut.
-
Bijirin sarapan bergula

Bijirin sarapan memang mudah disediakan, tetapi tidak semua bijirin sarapan memberikan manfaat kesihatan seperti yang disangka.
Dr. Youn menjelaskan bahawa bijirin yang tinggi gula boleh memberi kesan buruk kepada kulit, lebih-lebih lagi jika dimakan bersama susu skim.
Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan lonjakan gula dalam darah yang akhirnya memberi kesan negatif kepada kesihatan kulit terutamanya kepada individu mempunyai masalah ekzema. – RELEVAN


