APABILA mula bekerja, dua nama organisasi ini akan dicatatkan pada slip gaji – KWSP dan Perkeso. Walaupun sering disebut bersama, kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza. Berikut merupakan perkara asas yang wajib anda tahu mengenai dua organisasi yang mempunyai kesan besar terhadap kehidupan kerja anda.
Apa Itu KWSP?
KWSP ialah singkatan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Employees Provident Fund (EPF). Ia skim simpanan persaraan wajib bagi pekerja di Malaysia dengan tujuan membantu pekerja mempunyai simpanan kewangan apabila bersara kelak.
Siapa yang menyumbang?
Pekerja dan majikan sama-sama menyumbang. Bagaimanapun, majikan akan lakukan perkara berikut:
- Menolak caruman pekerja daripada gaji bulanan
- Menambah caruman majikan
- Membayar jumlah keseluruhan kepada KWSP
Asas caruman KWSP
- Caruman dikira berdasarkan gaji bulanan
- Wang caruman akan diagihkan ke dalam tiga akaun utama iaitu:
- Akaun Persaraan : Digunakan terutamanya untuk simpanan hari tua
- Akaun Sejahtera : Demi keperluan tertentu seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan
- Akaun Fleksibel : Boleh dikeluarkan untuk keperluan kewangan jangka pendek tertakluk kepada syarat
Apa itu Perkeso ?
Perkeso ialah singkatan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial. Tujuan pertubuhan ini wujud adalah untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial dalam bentuk insurans kepada pekerja. Fokus utama Perkeso adalah melindungi pekerja daripada risiko seperti kecacatan atau kecederaan disebabkan kemalangan dan lain-lain.
Siapa yang perlu mencarum?
Semua pekerja sektor swasta di bawah kontrak perkhidmatan termasuk:
- Pekerja sepenuh masa
- Separuh masa
- Pekerja kontrak atau sementara
Pengecualian termasuk:
- Penjawat awam tetap
- Pembantu rumah persendirian
Asas caruman Perkeso
Kategori pertama (pekerja bawah umur 60 tahun)
- Skim bencana pekerjaan
- Skim kecederaan
- Kadar caruman:
Majikan: 1.75 peratus
Pekerja: 0.5 peratus daripada gaji
Kategori Kedua (pekerja berumur 60 tahun ke atas)
- Skim Bencana Pekerjaan sahaja
- Kadar caruman:
Majikan: 1.25 peratus
Tiada caruman daripada pekerja
Perbezaan KWSP dan Perkeso
KWSP adalah simpanan jangka panjang yang boleh digunakan untuk:
- Persaraan
- Pembelian atau pembiayaan rumah
- Pendidikan
- Keperluan perubatan tertentu
- Pengeluaran sebahagian pada umur atau syarat tertentu (contohnya umur 55 dan 60 tahun)
Perkeso pula menyediakan perlindungan insurans, antaranya:
- Rawatan perubatan akibat kemalangan ketika bekerja
- Faedah kecacatan sementara atau kekal
- Pencen ilat jika hilang kemampuan bekerja
- Faedah pencen penakat
- Program pemulihan dan kembali bekerja
- Bantuan pendidikan untuk anak (kes tertentu sahaja) – RELEVAN


