SEMAKIN ramai rakyat Malaysia mula memikirkan cara untuk menambah pendapatan. Tekanan kos harian, komitmen bulanan yang meningkat dan ketidaktentuan ekonomi menyedarkan orang ramai bahawa penggantungan kepada satu gaji sahaja mungkin tidak mencukupi.
Pendapatan sampingan dilihat sebagai perlindungan kewangan jika sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
Namun persoalannya, bagi tahun 2026, pendapatan sampingan manakah yang masih relevan?
-
Pemasaran afiliasi (affiliate marketing)
Secara asasnya, konsep pemasaran afiliasi memang kelihatan ringkas. Anda hanya perlu menghasilkan video atau gambar, berkongsi pautan produk dan menerima komisen setiap kali berlaku pembelian.
Platform seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop pula memudahkan sesiapa sahaja untuk mendaftar tanpa modal besar.
Namun ia tidak semudah yang disangka. Persaingan semakin sengit kerana terlalu ramai mempromosikan produk yang sama. Tanpa sasaran audiens yang jelas dan identiti tersendiri, sukar untuk membina kepercayaan dan menghasilkan jualan secara konsisten.
Masih berbaloi? Ya, jika fokus pada niche spesifik dan bina pengguna setia.
-
Bekerja bebas
Penulisan, reka grafik, video editing, pengekodan dan pembantu maya antara servis yang masih mendapat permintaan tinggi. Platform global seperti Upwork dan Fiverr membuka pasaran antarabangsa.
Cabarannya ialah persaingan global dan perang harga. Bekerja bebas bukan lagi kerja dilakukan sekadar suka-suka tetapi memerlukan disiplin, portfolio dan kemahiran komunikasi.
Masih berbaloi? Sangat berbaloi jika ada kemahiran khusus dan boleh menghasilkan karya berkualiti.
-
Dropship
Model ini membolehkan anda menjual tanpa simpan stok. Ia kedengaran ideal tetapi ramai tidak sedar margin keuntungan sangat kecil dan bergantung sepenuhnya kepada pembekal.
Tambahan pula, kos iklan semakin mahal. Tanpa strategi pemasaran yang baik, sukar untuk kekal lama.
Masih berbaloi? Sesuai untuk yang faham pemasaran digital, bukan untuk yang mahu cepat untung.
-
Pengajaran dalam talian (online tutoring)
Jika anda mahir dalam subjek akademik, bahasa atau kemahiran tertentu, ini antara pekerjaan sampingan yang paling stabil. Selepas pandemik, pembelajaran dalam talian menjadi kebiasaan.
Tutor bahasa Inggeris, Matematik atau kemahiran seperti pengekodan dan melukis mempunyai permintaan yang konsisten.
Masih berbaloi? Ya, terutamanya jika anda boleh bina reputasi dan testimoni.
-
E-dagang
Menjual produk fizikal atau digital melalui Shopee, Lazada atau TikTok Shop masih relevan. Namun persaingan sengit memerlukan strategi konten yang konsisten.
Ramai penjual berjaya bukan kerana produk unik tetapi disebabkan bijak membina komuniti dan cara menjual.
Masih berbaloi? Ya, tetapi memerlukan komitmen masa yang tinggi.
-
E-hailing
Grab, Foodpanda dan Lalamove masih menjadi pilihan popular. Kelebihannya fleksibel dan mudah bermula.
Namun kos petrol, penyelenggaraan kenderaan dan komisen platform perlu diambil kira. Ia lebih sesuai sebagai pendapatan tambahan jangka pendek.
Masih berbaloi? Sesuai untuk tambah duit cepat, bukan bina kekayaan jangka panjang. Meskipun ramai menjadikannya sebagai pekerjaan hakiki, ia kurang sesuai bagi generasi muda kerana tenaga, bakat dan kemahiran seeloknya disalurkan kepada pekerjaan yang lebih stabil.
-
Pencipta kandungan (content creator)
Menjadi pencipta kandungan kini dianggap kerjaya sebenar. Pendapatan boleh dijana dari iklan, afiliasi dan kolaborasi jenama.
Namun, ramai tidak sedar konsistensi dan kesabaran adalah cabaran utama. Algoritma sentiasa berubah.
Masih berbaloi? Ya, jika ada identiti dan mesej jelas dan bukan sekadar ikut trend.
-
Menjual makanan dimasak di rumah
Permintaan terhadap kek buatan sendiri, pencuci mulut dalam kotak dan makanan viral masih kukuh, khususnya di kawasan bandar.
Namun, realitinya tidak semudah memuat naik gambar cantik di media sosial. Harga bahan mentah seperti mentega, coklat dan produk tenusu semakin meningkat, sekali gus menekan margin keuntungan. Pada masa sama, terlalu ramai peniaga menawarkan produk yang hampir serupa, menjadikan persaingan sangat sengit.
Dalam keadaan ini, konsistensi rasa, kualiti bahan dan strategi penjenamaan memainkan peranan besar untuk kekal relevan.
Berbaloi atau tidak? Ia masih mempunyai potensi tetapi hanya jika anda benar-benar menjaga standard produk dan tahu siapa sasaran pelanggan anda.
Walaupun peluang semakin banyak, untuk menjana pendapatan sampingan tetap memerlukan usaha, konsistensi dan strategi. Tidak semua yang viral akan kekal menguntungkan.
Jika dirancang dengan baik, 2026 boleh menjadi tahun untuk membina sumber pendapatan tambahan yang lebih stabil, bukan sekadar mencuba nasib. – RELEVAN


