JANGKITAN Covid-19 mencatatkan sebanyak 12,017 kes baharu semalam berbanding 10,002 kes kelmarin.
Peningkatan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 di Malaysia pada ketika ini ialah sebanyak 4,268,486 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kategori 1 mencatatkan sebanyak 6,646 kes atau 55.30 peratus manakala sebanyak 5,303 kes atau 44.13 peratus direkodkan dalam kategori 2.
Jelasnya, kategori 3 pula mencatatkan sebanyak 28 kes (0.23 peratus), 15 kes (0.13 peratus) dalam kategori 4 manakala 25 kes (0.21 peratus) bagi kategori 5.
Semalam juga mencatatkan sebanyak 20,431 kes sembuh, menjadikan jumlah terkumpul kesembuhan adalah sebanyak 4,062,154 kes.
Dalam pada itu, menurut data laman web CovidNow, semalam juga mencatatkan 33 kematian dengan 10 daripadanya merupakan kematian sebelum tiba di hospital (BID).
Sekali gus, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 setakat semalam adalah sebanyak 35,160 kematian dan jumlah terkumpul BID sebanyak 7,425 kes.
Jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia pada ketika ini ialah sebanyak 171,172 dengan 167,130 atau 97.6 peratus pesakit menjalani kuarantin di rumah dan 385 kes atau 0.2 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sebanyak 3,423 atau 2.0 peratus pesakit dirawat di hospital, 103 atau 0.1 peratus berada di unit rawatan rapi (ICU) tanpa alat bantuan pernafasan dan 131 atau 0.1 peratus lagi di ICU dengan alat bantuan pernafasan. – RELEVAN